Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dirafa’kan ke hadrat Allah SWT di atas segala nikmat dan kasih sayangNya. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW berserta ahli keluarga dan para sahabat baginda sekalian.

Saya dengan rendah diri, mengalu-alukan anda melayari lidah rasmi Masjid Negara sebagai agen penyebar maklumat dan informasi yang cukup berkesan di zaman moden tanpa sempadan ini.

Sebagai sebuah masjid terunggul yang menjadi ikon kebanggaan negara, Masjid Negara sentiasa berusaha menjadi pelopor dan perintis dalam melahirkan ulul albab yang berfungsi sebagai wakil dan agen penyebar ilmu dan dakwah. Perkara ini berjaya dilaksanakan menerusi modul kesinambungan program pengimarahan dan kelas pengajian agama yang bersistematik dan tersusun persis seperti yang ditawarkan oleh Institusi Pengajian Awam yang lain. Ratusan malah ribuan bekas pelajar-pelajar yang tamat belajar di Masjid Negara kini menyambung usaha murni yang dilaksanakan oleh Masjid Negara dengan menjadi tenaga pengajar di masjid dan surau seluruh Malaysia.

Selain daripada itu, Masjid Negara sentiasa peka dan menyahut seruan kerajaan dalm melakukan transformasi antaranya untuk menjadikan masjid sebagai ” One Stop Centre ” atau Pusat Hentian Setempat. Dalam kata lain, persepsi masyarakat bahawa masjid merupakan tempat ibadah semata-mata harus dikikis., sebaliknya fungsi masjid juga diperluas sebagai pusat aktiviti yang pelbagai. Melalui pendekatan ini, masyarakat tidak merasa sing dengan masjid, secara tidak langsung mendekatkan diri mereka dengan masjid.

Dalam usaha memasitkan misi dan visi Masjid Negara tercapai, pelbagai bentuk usaha dan strategi telah dilaksanakan termasuk melalui wacana medium eletronik. Pembangunan dan penambahbaikkan laman web Masjid Negara dari masa ke semasa terbukti mampu menyebarkan maklumat dan dakwah dengan lebih pantas dan meluas. Program pengimarahan yang ditawarkan oleh Masjid Negara ternyata mendapat sambutan luar jangkaan melalui hebahan dan capaian maklumat yang lebih jelas, efisien dan mudah.

Akhir kata, saya merakamkan ucapan ribuan terima kasih kerana sudi melayari laman rasmi Masjid Negara. Mudah-mudahan segala maklumat dan perkongsian ilmu yang ditawarkan memberi manfaat yang berguna kepada kedua-dua belah pihak. Saya juga mengalu-alukan sebarang pandangan dan teguran yang membina bagi memastikan laman web rasmi ini menjadi wadah sumber maklumat yang berkualiti

Salam Hormat,

TAN SRI DATO’ SERI SYAIKH HAJI ISMAIL BIN MUHAMMAD

IMAM BESAR MASJID NEGARA

JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA